Main tapuk-tapuk

"1,2,3,4,5,6,7,8,9,10.. Sudahkah!!!" tu lah ayat wajib tatacara kami bermain sembunyi-sembunyi suatu masa dahulu.  Masih terasa sakitnya hati apabila terpaksa menjadi tukang cari. Masa tu rasa tidak sabar-sabar nak habiskan kiraan 1 hingga 10. Pertanyaan 'sudahkah!!!' merujuk kepada dah siap sembunyi yang sudah tentunya tidak disahut dan penggunaan tanda seru sengaja digunakan bagi menunjukkan tersiratnya nada kuat dek geram.


Strategi persembunyian bergantung kepada tahap kekreatifan dan kearifan di mana lokasi permainan berlangsung. Sekiranya ia dilangsungkan di rumah agak kurang mencabarnya kerana masing-masing dah arif dengan susur semak rumah tetapi agak bias sekiranya anak jiran turut sama bermain jenuhlah mereka tak jumpa cari.  Paling seronok apabila acaranya di luar, peraturan terpaksa ditetapkan untuk menghadkan keluasan lingkungan jarak persembunyiaan.  Peraturan ini terpaksa kami buat ekoran ada seorang anak jiran yang balik ke rumah kerana lapar nak makan nasi ketika permainan berlangsung.  

Dengan jumlah adik-beradik yang ramai selalunya bermain sesama kami di rumah dan pada kebiasaannya anak-anak jiran yang akan datang bertandang bermain bersama.  Saya tidak akan lupa dengan abang ketiga yang begitu handal dalam bab persembunyian.  Kadang-kadang sampai jenuh mencari hingga terpaksa mengalah dengan memberikan isyarat iaitu jerit 'akun!' dan tak semena-mena abang akan keluar dari lubuk persembunyiannya.

Saya berfikir bagaimana menyudahkan cerita tapuk-tapuk ni dengan klimaks santai...

Dan saya jadi teringat kepada terrornya saya bersembunyi sehingga tidak dijumpai dan hampir dilupakan.  Bayangkan saya bersembunyi di dalam kotak, isinya terpaksa saya keluarkan dan kemudian masuk ke dalam tutup semula kotak dengan keadaan yang langsung tidak mencurigakan.



Akibat dari kepanasan di dalam kotak saya menjadi mengantuk dan tanpa sedar saya tertidur di dalamnya.  Saya hanya tersedar sudah berada di sofa depan rumah tamu.  Mengikut cerita abang, saya dijumpai dalam kotak dalam keadaan tertidur dengan berpeluh-peluh itupun setelah mereka bermain dalam beberapa siri permainan.  Rupa-rupanya mereka teruskan bermain selepas gagal mencari saya.. nasiblah saya tidak mati kelemasan. 

p.s: tapuk-tapuk=sembunyi-sembunyi
p.s: Jangan contohi penggunaan 'Dan' di awal ayat.. Itu adalah kesalahan yang disengajakan.

Comments

Popular posts from this blog

Malas ku ingau tapi cmana nda ingau!

7 purnama

sekolah yang hilang!